Kajian keperluan sistem pengurusan dan penyimpanan data untuk pihak berkuasa tempatan: Majlis Daerah Kubang Pasu

Pentadbiran sesuatu kawasan atau daerah dalam negara ini dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). PBT bertanggungjawab meluluskan pelbagai projek pembangunan, pelan dan infrastruktur, lesen perniagaan, dan mengurus kemudahan sosial. Oleh itu, kelancaran jentera pentadbiran PBT amat penting bagi memastikan segala kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat setempat dapat dipenuhi. Kajian ini dilakukan untuk menilai penggunaan sistem maklumat berkomputer dalam urusan pentadbiran, perkhidmatan dan perniagaan (3P) bagi Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP). Dua buah PBT yang terpilih dengan rekod kecemerlangannya telah digunakan sebagai penanda aras.Metodologi yang digunakan dalam kajian ini dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa definisi dan memahami keperluan, fasa analisis dan fasa pelaksanaan. Kajian mendapati penggunaan sistem maklumat berkomputer telah dapat membantu melicinkan urusan 3P di dua PBT terpilih tersebut di samping dapat menambah sumber pendapatan dan kecekapan kakitangan. Hasil analisis yang dijalankan, kajian ini mencadangkan beberapa langkah yang perlu diberi perhatian oleh PBT MDKP terutamanya yang berkaitan dengan penggunaan sistem maklumat berkomputer.