Pembangunan Perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (pbk) Bertajuk Ukur Aras

Projek ini bertujuan membangunkan perisian multimedia berbantukan komputer dalam mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam tingkatan 4 Sekolah Menengah Teknik bagi tajuk Ukur Aras. PBK ini boleh dijadikan sebagai BBM tambahan dalam meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan Ukur Aras dalam konteks Kejuruteraan Awam. Pembangunan perisian ini merangkumi teknik menyediakan multimedia dan cara penggunaan pakej yang telah dibangunkan. Perisian multimedia ini telah dibangunkan dengan gabungan perisian Macromedia Flash MX dan disokong oleh beberapa perisian lain seperti, Adobe Photoshop 7.0, Xara 3D6, ACD See8, Xara Menu Maker 1.0, SWiSHmax, Sound Forge 7.0, SnagIt 7 dan Microsoft WordXP. Hasil penilaian yang dijalankan mendapati bahawa perisian yang telah dihasilkan mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan tidak membosankan. Untuk cadangan penambahbaikan, perisian boleh ditambah dengan tayangan video dan semakan jawapan pada latihan.