Kemahiran employability bagi memenuhi keperluan industri

Perkembangan dunia masa kini di era globalisasi, majikan tidak hanya mementingkan kemahiran teknikal sahaja tetapi juga kepada kemahiran “employability” agar pekerja mereka dapat menyesuaikan diri dengan semua jenis pekerjaan dan dalam masa yang sama memiliki “multi skills”. Graduan yang menganggur merupakan fenomena serius yang berlaku pada masa kini. Perangkaan pasaran buruh menunjukkan bahawa keluaran institusi pengajian tinggi tempatan khususnya di IPTA masih tidak dapat menampung kekosongan pekerjaan meskipun keluaran sesuatu kumpulan pekerja itu melebihi daripada permintaan para majikan. Antara faktor utama berlakunya fenomena ini adalah kerana graduan yang dihasilkan masih tidak dapat memenuhi kehendak majikan masa kini. Kemahiran “employability” adalah merupakan aspek kemahiran yang amat penting untuk ketrampilan pelajar. Ia telah menjadi agenda penting negara dan menjadi tanggungjawab instisusi-institusi pengajian tinggi bagi melahirkan tenaga kerja yang mempunyai daya-saing yang tinggi serta memenuhi keperluan pasaran. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti elemen-elemen kemahiran “employability” yang telah diintegrasikan oleh tenaga pengajar Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dalam pelajaran teknikal serta elemen-elemen kemhairan “employability” yang dianggap penting oleh pihak industri.