Pembangunan Laman Web Bagi Matapelajaran Kimia tingkatan 4: Formula Dan Persamaan Kimia Dengan menggunakan Pendekatan Masteri

Projek ini bertujuan membangunkan laman web bagi matapelajaran Kimia Tingkatan 4, untuk tajuk Formula dan Persamaan Kimia. Laman web ini dibangunkan mengikut sukatan matapelajaran Kimia Tingkatan 4 SPM dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penyampaian. Tujuan laman web ini dibangunkan ialah untuk menghasilkan sebuah laman web tempatan yang memenuhi sukatan Kementerian Pelajaran Malaysia. Proses pembangunan ini mengaplikasikan model rekabentuk Hannafin and Peck yang mengandungi tiga fasa utama iaitu fasa analisis keperluan, fasa reka bentuk dan fasa pembangunan dan perlaksanaan. Manakala penilaian diadakan pada setiap fasa menepati proses pembangunan laman web. Pendekatan pembelajaran yang digunakan dalam laman web ini adalah pembelajaran masteri. Perisian pengarangan web Macromedia Dreamweaver MX digunakan untuk membangunkan laman web ini, manakala perisian Adobe Photoshop 7.0 dan SWiSHmax telah digunakan sebagai perisian sokongan untuk menyepadukan pelbagai elemen multimedia seperti grafik, teks, animasi dan interaktiviti bagi menghasilkan laman web yang lebih menarik dan berkesan. Diharapkan laman web ini dapat membantu para pelajar khususnya Tingkatan 4 memahami tajuk Formula dan Persamaan Kimia ini.