Mitos harimau dalam pengaturan adat masyarakat Kerinci Desa Pulau Tengah, Jambi, Sumatera.

Dalam tradisi lisan masyarakat Kerinci, harimau dikatakan membawa pengertian yang besar. Walau bagaimanapun, sehingga kini wacana mengenai asal-usul dan makna harimau dalam kebudayaan masyarakat Melayu – seperti di Kerinci – secara lebih komprehensif masih terlalu jarang untuk ditemui dalam mana-mana kajian. Hal ini membuahkan beberapa kelompangan dari sudut pandangan dunia masyarakat yang hidup dalam tradisi harimau itu sendiri. Oleh yang demikian, artikel ini akan mengupas mitos harimau menurut pengertian masyarakat Kerinci di Desa Pulau Tengah, Jambi berhubung penegasan aturan adat yang telah wujud di kampung itu sejak dahulu. Sebagai salah satu hasil kerja pendokumentasian tradisi lisan Kerinci menerusi penelitian lapangan selama beberapa tahun, artikel ini diharap dapat menawarkan sumbangan terhadap pelukisan asal-usul harimau dan kaitannya dengan kehidupan masyarakat, khasnya masyarakat Desa Pulau Tengah sehingga boleh difahami dengan lebih jelas tentang makna harimau dalam konteks kebudayaan dan sudut pandangan dunia mereka. Dalam mengkonstruksi pemahaman itu, artikel ini memberikan tumpuan kepada dua aspek, iaitu deskripsi tiga bentuk versi mitos asal-usul harimau di Kerinci, dan fungsinya sehingga ia berguna sebagai alat menstrukturkan peraturan sosial di Desa Pulau Tengah. Sebagai tradisi lisan, mitos harimau telah memberikan suatu sumbangan yang bererti bagi orang Kerinci dalam memperkukuhkan kedudukan aturan hukum. Kes-kes serangan harimau tidak dilihat sebagai ancaman dalam pengertian kebudayaan mereka tetapi sebagai teguran ‘orang tua’ untuk menjaga ketertiban sosial.