Abdul Halim Hasan dan manhajnya dalam Tafsīr al-Qur’ān al-Karīm

Abdul Halim Hasan (1901-1969) adalah seorang ulama tafsir yang berasal dari Binjai, Sumatera Utara, Indonesia. Karya tafsirnya menjangkaui sempadan negara dan menemui pembacanya di alam Melayu terutama Malaysia. Nilai akademik tinggi yang terdapat dalam karyanya ini telah mengangkat beliau menjadi antara ahli tafsir yang terkemuka pada awal kurun kedua puluh. Kertas kajian ini akan mengetengahkan keperibadian penulis, iaitu Abdul Halim Hasan, dan kajian akademiknya dalam Tafsīr al-Qur’ān al-Karīm. Fokus utama kajian ini ialah biografi penulis dan sumbangan metodologinya dalam bidang tafsir. Kaedah kajian mengambil kira analisis kandungan beserta kajian ethnografi terhadap pentafsir dan kitab tafsir beliau. Kajiaan ini mendapati kitab Tafsīr al-Qur’ān al-Karīm mengadaptasikan kaedah penulisan tafsir moden dengan mengambil kira pendekatan reformis dalam bidang pentafsiran.