Penggunaan kaedah pengoptimuman kelompok zarah dalam menilai keboleharapan analisis kestabilan cerun tanah

Objektif kajian ini adalah untuk menunjukkan pembangunan kaedah berangka untuk menilai keboleharapan cerun tanah dan menentukan kebarangkalian permukaan gelonsoran genting. Fungsi prestasi dirumuskan menggunakan kaedah had keseimbangan Bishop mudah untuk mengira indeks keboleharapan. Indeks keboleharapan yang ditakrifkan oleh Hasofer dan Lind digunakan sebagai indeks ukuran keselamatan. Pencarian permukaan gelonsoran genting secara kebarangkaliannya yang berkaitan dengan indeks keboleharapan terendah dirumuskan sebagai masalah pengoptimuman. Seterusnya pengoptimuman kelompok zarah digunakan untuk mengira indeks keboleharapan Hasofer dan Lind dan kebarangkalian permukaan kegagalan genting. Penggunaan algorithma ini ditunjukkan melalui tiga contoh berangka daripada kajian terdahulu. Keputusan menunjukkan bahawa kaedah yang dicadangkan berupaya untuk memberikan penyelesaian yang lebih baik bagi analisis keboleharapan cerun tanah berbanding dengan kaedah yang dilaporkan dalam kajian-kajian terdahulu.