Mengkaji Tahap Kesedaran Gangguan Seksual : Satu Tinjauan Di Kalangan Mahasiswa Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Darul Takzim

Kajian penyelidikan ini dijalankan untuk mengenalpasti tahap kesedaran di kalangan mahasiswa Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, kampus Skudai, Johor Darul Tazim terhadap gangguan seksual. Aspek-aspek yang dikaji ialah berkenaan perangkaan mangsa gangguan seksual di kalangan mahasiswa, tahap kesedaran dalam menangani kes-kes gangguan seksual, respons mahasiswi sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual atau melihat kejadian-kejadian yang dianggap sebagai satu gangguan seksual. Kajian ini telah dijalankan di fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, kampus Skudai, Johor Darul Takzim. Populasi kajian ini adalah seramai 100 orang responden yang dipilih secara rawak di kalangan mahasiswi Fakulti Pendidikan. Responden telah diberikan soal selidik yang mengandungi 25 item. Data-data yang diperolehi telah dianalisis menggunakan program Statistical Package for Social Science (SPSS version 10.0) for windows melalui kaedah peratusan dan min. Hasil penyelidikan mendapati bahawa tahap kesedaran mahasiswi terhadap gangguan seksual adalah berada pada tahap yang tinggi. Berdasarkan hasil dapatan kajian, beberapa cadangan telah disarankan untuk memastikan agar kes-kes gangguan seksual ini dapat dibanteras dan seterusnya dihapuskan.