Faktor polisi dan tindakan pengurusan banjir dalam mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan manual saliran mesra alam (MSMA)

Pengurusan banjir bersepadu adalah satu kaedah yang digunakan dalam pengurusan banjir yang menggabungkan semua aspek pengurusan banjir. Di mana kaedah pengurusan banjir secara berstruktur, tak berstruktur dan melibatkan pelbagai pihak yang bertanggungjawab dan komuniti di dalam pengurusan banjir sebagai elemennya. Di Malaysia, Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) digunakan sebagai alat dalam pengurusan banjir bersepadu. MSMA diwujudkan dengan matlamat untuk menyediakan panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan mereka bentuk pengurusan air ribut. Ia adalah bertujuan untuk mengenal pasti satu arah baru untuk pengurusan air ribut di kawasan bandar di Malaysia. Pengurusan air ribut di kawasan tadahan biasanya dijalankan oleh beberapa organisasi. Cabarannya adalah untuk memastikan bahawa pentadbiran, perancangan, reka bentuk dan penyelenggaraan sistem pengurusan air ribut adalah selaras dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), negeri dan Persekutuan yang berkaitan dalam bidang perancangan, kejuruteraan alam sekitar dan awam serta seni bina landskap. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji faktor-faktor dari segi polisi dan tindakan pengurusan yang menjadi halangan kepada keberkesanan pelaksanaan MSMA. Kajian ini hanya menggunakan daerah Batu Pahat, Johor sebagai kawasan kajian. Kaedah soal selidik kepada pihak yang bertanggungjawab dalam menggunakan MSMA di gunakan bagi melihat pendapat dan pandangan mereka. Analisis data adalah berdasarkan kepada 30 responden yang terlibat dalam kajian awalan bagi kajian ini. Dapatan kajian adalah berdasarkan kepada susunan keutamaan bagi nilai min bagi setiap faktor bagi elemen polisi dan tindakan pengurusan. Berdasarkan kepada susunan keutamaan ini dapat menunjukkan faktor utama yang menjadi halangan kepada keberkesanan pelaksanaan MSMA.